Suami maut, isteri parah dalam kemalangan
Bernama
Februari 4, 2013 18:16 MYT
Februari 4, 2013 18:16 MYT
Seorang penunggang motosikal terbunuh sementara isterinya parah dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di KM3 Jalan Kuantan-Gambang dekat Tanah Putih pagi tadi.
Mohd Saidi Mahmud, 44, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala isterinya yang berumur sekitar 30-an tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Pemandu Proton Waja yang dikenali sebagai Tan, berumur 40-an, berkata dia hanya cedera ringan walaupun keretanya berpusing beberapa kali.
Menurutnya, dia dalam perjalanan dari arah Kuantan dan berada di lorong kanan jalan apabila sebuah lori membawa kelapa sawit di lorong kiri tiba-tiba memasuki laluannya menyebabkan keretanya dan lori itu bergesel.
"Selepas itu kereta saya berpusing beberapa kali sebelum berhenti dalam keadaan menghala ke Kuantan kembali dan lori tersebut tersasar semula ke kiri jalan dan mungkin ketika itu motosikal mangsa dilanggar dan diseret beberapa meter," katanya ketika ditemui.
Tan berkata dia hanya menyedari kejadian yang menimpa pasangan suami isteri itu selepas keluar dari kenderaannya.
Pemandu lori itu difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Seorang penyelia syarikat pembersihan yang hanya dikenali sebagai Faisal berkata, pasangan suami isteri itu bekerja sebagai pembersih longkang di bawah kontraktor yang dilantik syarikat terbabit.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani yang dihubungi mengesahkan nahas terbabit dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.