Suami mangsa lemas reda kehilangan isteri, dakwa bot terbalik dipandu laju
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 29, 2023 19:59 MYT
Ogos 29, 2023 19:59 MYT
PARIT BUNTAR: Suami kepada seorang wanita yang meninggal dunia hari ini selepas terlibat dalam kejadian bot terbalik di Pantai Teluk Batik, Lumut semalam, reda kehilangan isteri tersayang.
Bagaimanapun, Mohammad Hafiz Johari, 31, mendakwa bot yang mereka naiki dipandu laju ketika membuat pusingan menuju ke pantai, sebelum terbalik.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan semua penumpang dan jurumudi bot terjatuh ke dalam laut.
Mohammad Hafiz berkata, ketika kejadian, dia bersama isterinya, Nurulafiqah Abdullah Sani, 34, dan dua anak mereka, Ahmad Haziq Danish, 6, Ainul Mardiah, 3, serta seorang adiknya menaiki bot tersebut bersama dua ahli keluarga yang lain.
"Ketika dalam perjalanan pulang ke pantai, bot dipandu laju ketika membuat pusingan ke arah kanan menyebabkannya terbalik.
"Walaupun terjatuh ke dalam laut namun saya tetap memegang erat anak perempuan saya,” katanya ketika ketika ditemui pemberita di Bagan Tiang di sini hari ini.
Menurutnya, selepas mendapati adik dan anak lelakinya selamat, dia tidak melihat kelibat isterinya ketika orang ramai membawa mereka ke pantai.
Tambahnya, dia telah meminta pertolongan orang ramai untuk menyelamatkan isterinya yang tidak pandai berenang.
Katanya, setelah lebih 10 minit mencari, akhirnya isteri ditemukan di bawah bot yang terbalik dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Orang ramai membantu membuat rawatan kecemasan CPR namun isteri saya masih tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan, namun saya dimaklumkan dia meninggal dunia pagi tadi," ujarnya.
Sementara itu jenazah Nurulafiqah dibawa ke rumah ibunya di Bagan Tiang di sini dan tiba pada pukul 2.30 petang untuk dikebumikan selepas solat Asar.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah mengesahkan Nurulafiqah meninggal dunia pada jam 4.58 pagi.
Semalam, media melaporkan sembilan individu termasuk seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) dan dua kru bot terselamat apabila bot yang melakukan aktiviti rekreasi membawa pelancong telah terbalik di Pantai Teluk Batik, Seri Manjung.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian melibatkan mangsa, pelancong tempatan yang kesemua berusia antara tiga hingga 34 tahun itu pada 10.58 pagi.
Katanya, dua mangsa didapati lemas iaitu remaja OKU berusia 17 tahun terbabit dan seorang wanita 34 tahun yang telah dibawa naik ke darat oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba, manakala tujuh mangsa yang lain selamat selepas berjaya berenang ke pantai.
Mangsa lelaki (OKU) yang lemas telah sedar akibat daripada bantuan CPR (resusitasi kardiopulmonari) oleh orang awam seterusnya dibawa ke hospital oleh EMRS bomba.