Suami kemalangan, rumah pula terbakar

Bernama
Jun 13, 2016 18:13 MYT
Kebakaran tersebut disedari jiran yang turut mendengar letupan kecil dan pada mulanya menyangka ia merupakan bunyi mercun. - Gambar hiasan
Sudahlah suaminya patah kaki akibat terjatuh di tempat kerja dua hari lalu, malam tadi rumahnya pula terbakar.
Inilah nasib yang menimpa Nadia Malina Mat Junoh, 33, dari Kampung Tok Randok di sini pada bulan Ramadan ini.
Beliau berkata kebakaran berlaku pada pukul 7.35 malam ketika beliau sedang menjaga suaminya Zamri Kamal, 40, di Hospital Sultanah Nur Zahirah sementara empat orang anaknya berada di rumah datuk mereka yang terletak berdekatan rumah sewanya itu.
Kebakaran tersebut disedari jirannya Kamaruddin Kayakuti, 53, yang turut mendengar letupan kecil dan pada mulanya menyangka ia merupakan bunyi mercun.
"Mula-mula saya ingatkan anak Nadia yang main mercun, tapi bila saya selesai makan (berbuka) dan keluar nak basuh tangan, saya tengok api sudah marak. Saya cepat-cepat ambil air dan simbah serta minta pertolongan jiran lain.
"Kejadian berlaku dengan pantas, tak sampai 15 minit api sudah merebak ke seluruh kawasan rumah," katanya sewaktu kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib hari ini.
Kamaruddin berkata api juga hampir merebak ke rumahnya yang menyebabkan tingkap rumahnya pecah.
"Nadia berada di hospital sejak Jumaat lalu kerana menjaga suaminya yang patah kaki setelah terjatuh dari lori di tempat kerjanya," katanya.
Sementara itu, Ghazali yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ajil berkata pihaknya akan membuat penilaian dan tafsiran kerugian yang dialami mangsa.
"Kita memang bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa. Persiapan puasa dan raya mangsa terjejas dan buat masa sekarang mangsa terpaksa menumpang di rumah bapanya.
"Insya-Allah kita akan membina semula rumah ini secepat mungkin dengan anggaran peruntukkan kira-kira RM40,000. Hari ini kita beri sedikit derma kilat dan sumbangan daripada Yayasan Terengganu," katanya.
#berita Ramadan #Kampung Tok Randok #rumah terbakar #suami kemalangan
;