Suami kelar isteri, bunuh diri setelah terdengar 'bisikan halus'
Astro Awani
Mei 27, 2017 16:35 MYT
Mei 27, 2017 16:35 MYT
Seorang lelaki warga emas bertindak membunuh diri dengan meminum sejenis cecair dipercayai racun sejurus mengelar isterinya sendiri dalam satu kejadian di Kampung Tedong, Alor Gajah lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek, A. Savariappan, 65, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka manakala isterinya, A. Sinnamah, 65, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Jelas A Asmadi, pihak polis menerima laporan menerusi panggilan telefon oleh adik ipar mangsa sekitar 6.55 petang semalam.
Katanya, suspek dan mangsa telah mendirikan rumah tangga hampir 45 tahun dan siasatan awal mendapati suspek menunjukkan kelakuan aneh sejak seminggu lalu.
Sebelum bertindak tekad mengelar isterinya dengan senjata dipercayai pisau tumpul, suspek dikatakan bertindak agresif dan seperti dirasuk.
Jelasnya, menurut anak kandung mangsa, suspek juga ada mengadu sering terdengar bisikan halus yang mengarahkannya untuk membunuh diri sejak kebelakangan ini.
Punca penuh kejadian bagaimanapun belum diketahui dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 324/309 Kanun Keseksaan.