Suami isteri warga emas, hidap pelbagai penyakit rayu bantuan kelangsungan hidup
Aida Aziz
Ogos 26, 2022 18:53 MYT
Ogos 26, 2022 18:53 MYT
IPOH: Keadaan pasangan suami isteri warga emas yang menetap di Persiaran Tawas Baru, di sini sememangnya memerlukan bantuan sewajarnya daripada pihak yang berkenaan, termasuk orang ramai yang prihatin.
Menjengah ke rumah mereka pada Jumaat, membuka lebih banyak ruang untuk bertanya lanjut tentang masalah yang mereka hadapi selama ini.
Yea Soon Bah, 76, berkata dia menghidap penyakit prostat yang memerlukannya memakai beg urin (air kencing) sepanjang masa, ditambah dengan penyakit lain seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis.
Manakala isterinya, Wong Ah Boon, 66, kini hanya terlantar di atas katil susulan serangan strok sejak dua tahun lalu.
Menurut Soon Bah lagi, dia mempunyai dua orang anak yang kini sudah mempunyai kehidupan masing-masing, anak lelaki di Kuala Lumpur dan anak perempuan di Bercham, di sini.
"Tiga orang cucu saya tinggal di sini sementara anak perempuan saya dan suaminya kerja, mereka akan ambil anak waktu petang selepas selesai kerja mengecat," katanya.
Meskipun begitu, Soon Bah menjelaskan kos perubatan yang perlu dibayar setiap bulan bagi rawatan dia dan isteri tidak mampu ditampung oleh anak-anaknya.
Ini kerana kedua-duanya bekerja dengan pendapatan tidak tetap selain mengambil upah sebagai buruh untuk kerja mengecat.
"Dulu saya pun kerja sebagai buruh dan mengambil upah menebang pokok di hutan-hutan. Namun selepas mengalami kemalangan ditimpa pokok balak, saya tidak boleh lagi bekerja berat.
"Tahun lalu saya disahkan menghidap penyakit prostat, selain itu saya ada gout dan kencing manis dan perlu suntikan insulin.
"Penglihatan saya pun tidak berapa jelas sebab ada katarak, bulan September nanti perlu buat pemeriksaan lanjut di hospital.
"Baru-baru ini doktor syak ada sel kanser pada saya dan dia minta untuk saya buat pemeriksaan lanjut kerana dikhuatiri jika benar ia akan merebak ke organ lain.
"Memang selalu akan ulang alik ke klinik kesihatan dan hospital untuk ambil ubat, termasuk untuk isteri saya yang terlantar," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Dalam pada itu, Soon Bah berkata dia juga perlu menjaga isterinya yang memerlukan jagaan rapi.
Katanya lagi, dia memang memerlukan bantuan dari segi lampin pakai buang dan peralatan kesihatan seperti katil untuk isteri.
"Selain terlantar isteri saya pun sebenarnya ada masalah kesihatan dari segi mental sejak 10 tahun lalu. Buah pinggangnya pun ada masalah selain perlu ambil suntikan insulin," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan atau Ah Nan yang mengetuai kunjungan ke rumah itu berkata, pihaknya telah mengajukan kes itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak.
Selain itu katanya, warga emas itu juga berdepan dengan sewa rumah yang tertunggak selama dua bulan, termasuk bil elektrik dan air.
"Kita usaha mohon dengan JKM bantu pasangan ini... baru sahaja dapat kelulusan dan mulai bulan depan JKM akan bantu RM500 setiap bulan.
"Orang ramai dialu-alukan hulur sumbangan seperti lampin pakai buang, katil atau perkhidmatan ambulans swasta untuk bawa isterinya buat pemeriksaan susulan, sebab keadaan dia tidak mengizinkan untuk naik kereta," katanya lagi.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi 012-5321128 (Ah Nan).
Untuk sebarang pemberian bantuan barang makanan atau peralatan kesihatan boleh datang ke Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat, Wisma Ehsan 1-7, Jalan Sultan Yussof, di sini.
#suami isteri warga emas
#pelbagai penyakit
#Yea Soon Bah
#Wong Ah Boon
#Persiaran Tawas Baru
#MCA Perak