Suami isteri warga emas hembus nafas akhir bersama di Tanah Suci
Muhafandi Muhamad
Disember 26, 2019 17:01 MYT
Disember 26, 2019 17:01 MYT
Ke mana sahaja sentiasa bersama, dan jarang berpisah... Hingga ke akhir nyawa.
Itulah yang digambarkan bagi sepasang suami isteri yang meninggal dunia di Tanah Suci selang dua hari antara satu sama lain, sewaktu mereka menunaikan ibadat umrah.
Ismail Latif, 66 tahun, meninggal pada jam 11 pagi waktu tempatan Isnin lepas manakala isterinya, Rohani Dollah, 60 tahun, meninggal dunia jam 2 petang Rabu sewaktu berada di kota Madinah.
Menurut khabar yang diterima oleh pihak keluarga, Ismail mengalami demam manakala isterinya mengalami tekanan darah tinggi.
“Sihat walafiat, (mereka) tak ada penyakit selama ni kerana memang aktif buat pemeriksaan kesihatan. Mereka memang segar dan aktif, baik di rumah atau di masjid. Mak ada darah tinggi. Mungkin dia terkejut dengan (pemergian) ayah.
“Mungkin dia fikir sedih nak tinggal ayah, jadi mungkin fikir banyak sampai dia pun mengadap Ilahi. Kami redha dengan pengakhiran baik ayah bersama dengan emak. (Mereka) sehidup semati pergi ke sana sini bersama dan jarang berpisah,” ujar anak sulung pasangan itu, Nor Afizah Ismail.
Nor Afizah, 41 tahun, menjelaskan berita pemergian ibu bapa mereka itu disampaikan oleh sepupunya, Noranito Taib, 50 tahun, yang turut sama menunaikan umrah.
Walaupun terkejut dengan berita itu, ditambah pula dengan sembilan adik beradiknya yang tidak sempat menatap wajah ibubapa mereka, mereka redha dengan pemergiannya.
Mengulas lanjut, kedua-duanya tidak mengalami sebarang masalah penyakit dan berkeadaan sihat ketika bertolak ke Mekah.
Menurut anak sulung dari 10 beradik itu, ayahnya tiada sebarang penyakit dan sihat sebelum berangkat ke Mekah pada 14 Disember lepas.
#Kelantan
#Madinah
#Mekah
#meninggal dunia di tanah suci
#pasangan suami isteri
#Tanah Suci
#warga emas