Suami isteri tinggal berjauhan juga dilarang rentas negeri - Ismail Sabri

Hilmi Malik
Januari 12, 2021 20:55 MYT
Pasangan suami isteri jarak jauh turut dilarang rentas negeri dan diminta bersabar, kata Datuk Seri Ismail Sabri. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang tinggal secara jarak jauh tidak terkecuali daripada dikenakan larangan merentas negeri.
Sehubungan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengharapkan pasangan suami isteri yang terlibat dapat bersabar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Saya harap mereka dapat bersabar untuk tempoh dua minggu ini dan kita akan pantau keadaan selepas dua minggu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya dalam sidang media pada Selasa.
Mengulas mengenai isu sama melibatkan golongan ahli politik, Ismail Sabri berkata, tiada pihak yang terkecuali termasuk untuk mengadakan perjumpaan, mesyuarat dan sebagainya.
“Jika ada perjumpaan penting, lakukan secara maya dan kami di pihak kerajaan juga adakan perbincangan secara atas talian melibatkan Perdana Menteri,” kata beliau lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sidang media pihaknya menjelaskan, setakat ini tahap SOP termasuk penjarakan fizikal yang ditetapkan telah mencukupi.
Bagaimanapun, sekiranya terdapat cadangan untuk mengadakan sidang media secara atas talian pihaknya sedia untuk berbuat demikian.
[SIDANG MEDIA] Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan & Bersyarat (PKP/PKPB/PKPP) - 12 Jan 2021
#ismail sabri yaakob #SOP #PKP #rentas negeri #suami isteri #jarak jauh
;