Suami-isteri terlibat dalam sindiket curi kereta ditahan
Aizat Sharif
Februari 26, 2013 18:59 MYT
Februari 26, 2013 18:59 MYT
Sepasang suami isteri antara empat orang yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket curi kereta di Lembah Klang dan Johor.
Pasangan suami isteri yang berumur 28 dan 20 tahun itu ditahan di tepi sebuah jalan di Taman Seri Bahagia, Cheras bersama sebuah kereta Proton Iswara yang disyaki dicuri.
Ketua Jabatan Siasatan jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata kejayaan menumpaskan sindiket tersebut apabila polis menerima laporan kehilangan sebuah kereta Proton Wira dari seorang mekanik berumur 57 tahun pada Ahad lalu.
“Pada jam 1.17 petang, polis menerima laporan mengenai kehilangan sebuah kereta dari seorang mekanik di Taman Sungai Besi Indah, Cheras. Menurutnya , kereta yang diletakkan berhampiran rumahnya telah hilang,” kata Mohd Adnan.
Laporan polis kemudiannya dibuat dan rondaan polis berjaya menahan seorang lelaki dalam kereta tersebut tidak jauh dari kawasan rumah mangsa pada jam sekitar 2.30 petang.
“Suspek berumur 30 tahun berasal dari Tawau, Sabah ditahan ketika memandu kereta Proton Wira yang disyaki dicuri itu dan pemeriksaan mendapati ianya menggunakan plat pendaftaran palsu,” beliau berkata.
Mangsa kemudiannya dipanggil polis ke lokasi tidak jauh dirumahnya dan membuat pengesahan dan pengecaman kereta itu melalui rim roda yang dipakai kereta itu.
Siasatan ke atas suspek tersebut membawa kepada penangkapan kedua di Taman Seri Bahagia, Cheras pada jam 6 petang dimana seorang pemilik bengkel membaiki kereta ditahan.
“Lelaki berumur 36 tahun itu mempunyai sebuah bengkel membaiki kereta di Nilai dan bertindak sebagai pelerai kenderaan yang dicuri itu. Semakan rekod polis mendapati suspek tersebut mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes curi kereta,” katanya lagi.
Malah suspek itu juga pernah ditahan terlibat dalam satu sindiket curi kereta besar-besaran di Batu Berendam, Melaka sekitar tahun 2011.
Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh suspek, polis membuat tangkapan ketiga dengan menahan sepasang suami isteri di tepi sebuah jalan di Taman Seri Bahagia, Cheras dan merampas kereta Proton Iswara yang dinaiki mereka.
“Kereta tersebut menggunakan plat pendaftaran palsu dan pernah dilaporkan hilang di Batu 9, Cheras pada tahun lalu,” kata Mohd Adnan.
Pembongkaran polis tidak hanya terhenti disitu sahaja apabila pada keesokkan harinya, (Isnin, 25 Februari) pada jam 3 petang, polis menyerbu sebuah bengkel kereta di Kawasan Industri Nilai 7, Nilai di Negeri Sembilan.
Bengkel ini telah disewa oleh salah seorang suspek untuk melakukan kerja-kerja peleraian komponen dan alat ganti kereta-kereta yang dicuri itu.
“Kita menjumpai 19 buah kerangka kereta yang telah dileraikan enjin keretanya, komponen dan alat ganti kereta tersebut,” katanya lagi.
Sindiket tersebut telah aktif dari tahun lalu dan giat mencuri kereta-kereta buatan Malaysia seperti Proton Iswara, Proton Waja dan Proton Wira kerana permintaan bahan alat gantinya yang agak tinggi.
Kereta-kereta tersebut dilaporkan hilang di Kajang, Ampang, Johor dan Cheras pada tahun lepas dan awal tahun ini.
Kereta-kereta tersebut dinilaikan mencecah setengah juta ringgit dan dengan tertangkapnya anggota sindiket tersebut, polis percaya berjaya menyelesaikan sebanyak 19 kes curi kereta yang dilaporkan dari tahun lepas.
Kesemua suspek direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan.