Suami isteri rentung dalam kemalangan di Kota Tinggi

Astro Awani
Januari 14, 2017 16:17 MYT
Mayat kedua mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. - Gambar fail
Sepasang suami isteri maut dengan mayat kedua mereka rentung apabila kereta Perodua Viva yang mereka naiki terbakar dalam satu kemalangan di Kilometer 81.6 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran Felcra Sungai Ara di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kereta pada jam kira-kira 5.45 pagi itu dikenali sebagai Mohd Farid Tumpang, 25, dan isterinya Suzana Jumri, 32.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dari arah Mersing ke Kota Tinggi cuba memotong kenderaan namun telah memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan Nissan Cefiro yang dalam perjalanan menuju ke Mersing.
"Akibat perlanggaran itu, Perodua Viva berpusing dan terbalik di bahu jalan lalu terbakar sehingga memerangkap kedua mangsa," kata Rahmat.
Mayat keduanya dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat manakala pemandu Nissan Cefiro, Ng Cheng Keat, 36, turut dihantar ke hospital itu oleh ambulans selepas mengalami kecederaan pada badan dan patah tangan kiri.
Tambah Rahmat, hasil siasatan mendapati tempat kejadian adalah jalan lurus dua hala dan terdapat cerun menurun menghala ke Mersing.
Jalan tersebut juga mempunyai garisan berkembar sebagai pembahagi jalan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Bernama melaporkan, kakak mangsa Dyana Tumpang berkata, kedua-dua mangsa baharu tiga bulan bernikah dan bakal mengadakan majlis resepsi pada 21 Januari ini di kediaman keluarga di Felda Tenggaroh 3, Mersing.
Katanya, dia menyedari arwah adiknya banyak berdiam sejak kebelakangan ini.
"Arwah adik suami isteri tidak banyak bercakap dan hanya menyerahkan segala persiapan kepada keluarga, kesemua persiapan sudah pun dibuat untuk majlisnya pada minggu hadapan.
"Kali terakhir kami berjumpa mangsa sewaktu cuti persekolahan dan ketika itu arwah ada menyatakan yang dia tidak mahu bersanding dan hanya buat kenduri untuk meraikan keluarga sebelah perempuan, walau bagaimanapun hasratnya untuk mengadakan majlis pada minggu hadapan tidak kesampaian," kata kakaknya dalam nada sayu ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.
Dia juga berkata adik iparnya juga mengandung dua bulan ketika kejadian.
Dyana berkata kedua-dua jenazah akan dibawa pulang ke Felda Tenggaroh 3 untuk disembahyangkan dan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam di tanah rancangan berkenaan dalam satu liang lahad petang ini.
#kemalangan #Kota Tinggi #Supt Rahmat Othman
;