Suami isteri, rakan didakwa edar dadah lebih 50 kilogram

Abd Razak Mohd Ali
November 22, 2024 10:10 MYT
Mohammad Amirul (kanan) dan Muhammad Firdaus (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Slim River hari ini. - Foto Astro AWANI
TANJUNG MALIM: Sepasang suami isteri dan rakan mereka didakwa di Mahkamah Majistret Slim River hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih 50 kilogram (kg), minggu lepas.
Tertuduh Mohammad Amirul Samsudin, 27 tahun, dan isteri, Zaharah Farhana Zamri, 26 tahun, serta Muhammad Firdaus Nazeri, 25 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret G Pulrani Kaur.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka yang berasal dari Perlis didakwa secara bersama telah mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan anggaran berat 51,974 gram.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 3.35 petang di tempat letak kereta Pusat Perniagaan Slim Perdana, Jalan Perdana 1, Slim River pada 11 November lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Januari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 14 November lalu, media melaporkan polis berjaya merampas hampir 52kg dadah disyaki methamphetime bernilai RM2 juta dan menahan tiga individu, termasuk sepasang suami isteri di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Pusat Perniagaan Slim Perdana, Slim River pada 11 November.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, suspek utama adalah ‘transporter’ yang dibantu isterinya dan seorang rakannya.
#Dadah #suami isteri #transporter #Mahkamah Majistret Slim River
;