Suami isteri penjawat awam 'kantoi' guna aplikasi MySejahtera palsu
Shuhada Abdul Kadir
Januari 13, 2022 17:55 MYT
Januari 13, 2022 17:55 MYT
MELAKA: Gara-gara tidak mahu terkecuali daripada menerima bayaran bonus tahunan dan dikenakan tindakan tatatertib, sepasang suami isteri yang juga penjawat awam sanggup membeli sijil vaksinasi COVID-19 palsu.
Tindakan pasangan berusia 33 dan 38 tahun yang bertugas di sebuah jabatan sama itu bagaimanapun membawa padah apabila dicekup pihak polis.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati pasangan berkenaan membeli sijil itu dengan harga RM500 setiap satu menerusi rakan sekerja berusia 58 tahun yang bertindak sebagai orang tengah.
“Kegiatan pasangan ini menggunakan sijil vaksinasi palsu mula terbongkar selepas pihak jabatan curiga dengan aplikasi ‘Mysejahtera’ berstatus vaksin lengkap dua dos yang dimiliki mereka sebelum membuat semakan di Klinik Kesihatan Rembia.
“Hasil semakan klinik berkenaan kemudian mendapati kedua-dua mereka tidak pernah menerima apa-apa vaksin sebelum laporan polis dibuat kerana mereka telah menipu pihak jabatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan lanjut mendapati pasangan itu mengaku membeli dan memuat turun sijil vaksin palsu melalui orang tengah yang merupakan penjawat awam di jabatan sama.
Katanya, pasangan suami isteri serta rakan sekerja berkenaan kemudian ditahan Selasa lalu di sekitar Melaka serta membuat rampasan keatas telefon bimbit kesemua tangkapan selain memburu seorang lagi suspek yang dipercayai penjual sijil vaksinasi itu.
Pasangan yang merupakan kumpulan anti vaksin itu juga sebelum ini pernah tampil membuat laporan polis pada tahun lalu berhubung keengganan mereka menerima suntikan vaksin berkenaan.
“Siasatan lanjut mendapati rakan sekerja yang bertindak sebagi orang tengah itu telah mendapatkan muat turun aplikasi sijil vaksin lengkap dua dos palsu ini daripada suspek yang masih bebas, yang digelar nama ‘Vnilai’.
“Sijil vaksinasi berkenaan juga boleh digunakan untuk mengimbas kod QR bagi memasuki premis perniagaan dan pihak polis sedang memburu suspek lain yang disyaki terlibat,” katanya.
Jelasnya, ketiga-tiga suspek itu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.