Suami isteri pekak, bisu nyaris maut rumah terbakar

Sinar Harian
Ogos 8, 2021 10:12 MYT
Mangsa diberikan rawatan awal selepas berjaya diselamatkan dalam kebakaran di Kota Kemuning, Shah Alam pada Ahad. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) nyaris maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kota Kemuning di sini awal pagi Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 4.17 pagi melibatkan kebakaran rumah dua tingkat berkeluasan kira-kira 400 meter persegi yang terbakar sebanyak 50 peratus di tingkat bawah.
Beliau berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam yang tiba di lokasi kejadian sejurus selepas itu berjaya memadamkan api serta mengeluarkan mangsa terperangkap di dalam rumah.
"Ketika kejadian, suami isteri bisu dan pekak berusia 39 serta 31 tahun itu ditemui berlindung dalam tandas.
"Isterinya yang mengalami sesak nafas telah diserahkan kepada pasukan perubatan untuk diberikan rawatan lanjut," kata beliau di sini pada Ahad.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#kebakaran #suami isteri #nyaris maut #Kota Kemuning #Balai Bomba dan Penyelamat #JBPM #Norazam Khamis
;