Suami isteri mungkin mula bergaduh apabila moratorium berakhir - Pakar psikologi
Wan Syamsul Amly
September 22, 2020 16:06 MYT
September 22, 2020 16:06 MYT
Tempoh bayaran moratorium yang bakal tamat pada akhir September mungkin menjadi permulaan punca pergaduhan antara suami isteri yang kesempitan wang.
Pakar Psikologi Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor berkata, situasi itu juga boleh mempengaruhi individu yang belum berkahwin dan perlu membiayai kehidupan seharian termasuk sewa rumah dan kenderaan.
Tegasnya, pergaduhan itu akan berlaku kerana tahap kewangan sesebuah keluarga yang semakin lama semakin menyusut selain dalam masa yang sama wang semakin diperlukan bagi mereka yang mempunyai anak.
"Kalau yang tidak ada anak sekalipun, duit itu diperlukan untuk apa yang perlu dibiayai, untuk belanja dalam rumah, makanan, minuman, pakaian, sewa rumah, bayar bil elektrik, bayar bil air.
"Kalau dua-dua bekerja, janganlah pula kata 'duit abang duit saya, duit saya duit saya'... tidak bolehlah kata begitu. Kalau kurang kewangan, suami isteri harus bergabung untuk memastikan bahawa ada bayaran-bayaran yang perlu dibayar oleh suami, ada yang perlu dibayar oleh isteri.
"Isteri tidak boleh kata, 'abang ketua keluarga, abang kena bayar semua'. Tidak bolehlah begitu, itu yang dinamakan persefahaman. Jadi kalau seelok-eloknya dalam aspek perbelanjaan ini mereka perlulah bersiap sedia dan dalam masa yang sama juga cuba elakkan dari berhubungan atau berkenalan dengan along kerana ini juga akan menambahkan lagi penderitaan dalam rumah itu.
"Kalau kita lihat di sini, wang memang segala-galanya tetapi wang tidak semestinya jadi jalan pemisah antara kerukunan rumah tangga suami dan isteri," katanya semasa dihubungi di sini, pada Selasa.
Menurut data Bank Negara, sehingga 20 Julai, lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus daripada kesemua peminjam telah mendapat manfaat daripada moratorium bayaran pinjaman yang bernilai RM38.3 bilion.
Dalam tempoh yang sama, sejumlah 243,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau 95 peratus daripada keseluruhan peminjam PKS telah menerima manfaat daripada moratorium dengan nilai RM20.7 bilion.
Manakala, jumlah peminjam individu yang meneruskan bayaran ansuran pinjaman dan tidak mengambil kemudahan moratorium meningkat kepada 331,000 peminjam pada April kepada 601,000 peminjam pada Julai.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan, paling penting adalah kesepakatan dan kompromi pasangan selain menggunakan kaedah bantuan kerajaan sebaiknya dalam isu berkenaan.
Katanya, suami dan isteri perlu memainkan peranan masing-masing dalam mencari jalan penstrukturan semula dengan pihak bank apa sahaja beban kewangan yang dihadapi.
"Saya kira benda ini perlu satu kesepakatan antara pasangan yang sudah berkawin, antara suami dan isteri, situasi bukan biasa-biasa tetapi memeranjatkan dan kerajan secara pantas cuba menyelesaikan masalah itu. Tetapi kita tetap berhadapan situasi COVID-19 ini dan masih lagi membelenggu ekonomi negara, perlu ada kompromi antara pasangan suami isteri dalam mencari kata sepakat agar setiap masalah dapat dirungkai dengan sebaik-baiknya.
"Saya percaya setiap masalah itu ada jalan penyelesaiannya, cuma sebagai suami isteri, sebagai ahli isi rumah perlu bertindak sebagai team player, semua ada peranan masing-masing yang tersendiri dalam membantu dan menyumbang kebaikan ekonomi bagi setiap isi rumah secara umumnya," ujarnya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada penularan pandemik COVID-19.
Sementara selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.