Suami isteri maut, tiga anak parah nahas kereta-treler di Lebuhraya Timur Barat
Astro Awani
Jun 24, 2023 16:54 MYT
Jun 24, 2023 16:54 MYT
GERIK: Pasangan suami isteri maut manakala tiga anak mereka parah setelah kereta dinaiki keluarga itu terbabit kemalangan dengan sebuah treler muatan simen di Kilometer 25, Lebuhraya Timur Barat, sebelum hentian rehat dan rawat (R&R) Titiwangsa, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.10 tengah hari, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke lokasi.
Menurutnya, terdapat lima mangsa dalam kereta Perodua Myvi dan mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohamad Nasir, 51, dan Rohaya Harun, 46.
Sementara itu, tiga anak mereka yang cedera parah dikenal pasti sebagai Mohamad Amir Zaqwan Mohamad Nasir, 14; Nur Auni Batrisya Mohamad Nasir, 12; dan Mohamad Zarith Mohamad Nasir, 7.
Difahamkan kesemua lima mangsa tersebut dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli.
Pemandu treler terlibat dalam nahas berkenaan bagaimanapun selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserah kepada polis untuk tindakan susulan.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Che Ros Che Hassan tamat pada jam 2.45 petang.