Suami isteri maut: Permintaan terakhir kakak, halalkan makan minum

Nazialita Geynna Maharan
Oktober 3, 2016 15:22 MYT
Anggota keselamatan dan orang ramai kelihatan di tempat kejadian selepas kemalangan yang meragut nyawa sepasang suami isteri di Ipoh. - Gambar Astro AWANI
"Halalkan makan minum akak, dunia dan akhirat."
Demikian pesanan terakhir Hasnida Hassan, 46, kepada adiknya sebelum maut dalam kemalangan di Kg Temiang, Sri Kinta di sini pagi ini.
Hasnida pada ketika itu dipercayai keluar bersama suaminya, Yazid Ismail, 50, untuk sarapan pagi sebelum keduanya menemui ajal ketika motosikal mereka bertembung dengan sebuah kenderaan.
Adiknya, Haslidatul Aziah, 44, ketika ditemui berkata, mereka baru pulang dari menghadiri kenduri kahwin anak saudara di Melaka pada malam Ahad dan beliau menyedari perubahan kakaknya ketika itu.
Katanya, kakaknya itu kelihatan agak sugul dan banyak mendiamkan diri malah nada suaranya juga berubah sepanjang perjalanan pulang ke Ipoh.
"Arwah kakak sesekali bercerita mengenai imbasan kenangannya di Langkawi dan perancangannya untuk meraikan hari keluarga bersama di sana dalam masa terdekat.
"Yang saya hairan, arwah turut menceritakan mengenai tabung khairat kematian keluarga, seperti tahu mengenai ajalnya. Perlakuannya memang lain dari kebiasaan,"katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada Isnin.
Jelasnya, arwah Hasnida turut sempat meluangkan masa bersama anak sulungnya yang bekerja di Kuala Lumpur sebagai penyelia syarikat penghantaran pos.
"Sekembalinya dari Melaka, kami singgah di RnR Senawang bersama ahli keluarga lain dan saya tidak langsung menyangka itulah kali terakhir kami berkumpul bersama," katanya.
Haslidatul berkata, ketika sampai di Ipoh sekitar jam 1 pagi semalam, arwah sempat bersalaman dengannya dan beliau kelihatan pucat.
"Halalkan makan minum akak, dunia dan akhirat. Itu pesanannya," ujarnya yang tidak dapat menahan kesedihan.
Kedua-dua suami isteri itu meninggalkan tiga orang anak masing-masing berusia 26, 22 dan 17 tahun.
Menurut saksi kejadian, arwah Yazid yang sedang menunggang motosikal dipercayai terperosok masuk ke bahagian bawah kenderaan manakala isterinya pula melambung daripada motosikal.
Ia terjadi akibat impak rempuhan dengan sebuah kenderaan lain jenis Perodua Axia.
Yazid pernah dianugerahkan Ahli Majlis Masyarakat Sivil (MMS) Terbaik di bawah Majlis Bandaraya Ipoh bagi tahun 2015 dan merupakan seorang kakitangan Giatmara yang aktif dan sentiasa menyumbangkan idea bernas buat jabatan.
#Ipoh #kemalangan #maut #pesanan terakhir
;