Suami isteri maut, motosikal terbabas sewaktu pulang dari kenduri kahwin

Amir Hamzah Nordin
November 13, 2022 18:30 MYT
Pacuan empat roda yang terbabas ke dalam semak susulan kejadian itu. - Foto PDRM
BENTONG: Sepasang suami isteri masing-masing berusia 26 tahun maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 25, Jalan Bentong ke Raub dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada jam 5 pagi itu, pasangan tersebut maut di tempat kejadian setelah motosikal mereka terbabas lalu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan polis mendapati mangsa sebelum itu bersama rakannya yang lain masing-masing menunggang dua motosikal.
“Pasangan itu balik ke rumahnya di Kampung Sungai Miak, Karak selepas menghadiri majlis perkahwinan di Lurah Biut dekat sini.
"Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal pasangan berkenaan cuba memotong motosikal di hadapannya lalu terbabas ke laluan bertentangan,” katanya.
Katanya, motosikal pasangan berkenaan kemudiannya bertembung bahagian sisi dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 49 tahun tahun dari Johor yang memandu ke arah Raub.
Menurut Zaiham, pasangan suami isteri itu disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian, manakala dua lagi pembonceng menerima rawatan di Hospital Bentong.
Katanya, pemandu kenderaan pacuan itu tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk membantu siasatan,” katanya lagi.
#nahas bentong #pasangan suami isteri maut #motosikal terbabas #balik kenduri kahwin
;