Suami isteri maut motosikal dirempuh kereta
Sinar Harian
Januari 18, 2022 11:49 MYT
Januari 18, 2022 11:49 MYT
PETALING JAYA: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta di Lebuhraya Persekutuan susur Subang kilometer (KM) 26.6 di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pasangan warga Indonesia berkenaan dilaporkan maut di tempat kejadian.
"Pada 15 Januari lebih kurang jam 6.34 pagi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik telah menerima laporan kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal Yamaha Y110 dan kereta Ford Fiesta.
"Siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 37 tahun dipercayai dilanggar dari belakang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
"Kepada saksi kejadian mohon tampil ke balai berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339 bagi membantu siasatan," ujarnya.
*Berita asal di Sinar Harian