Suami isteri maut, kereta bertembung pacuan empat roda
Abd Razak Mohd Ali
Mei 10, 2022 18:58 MYT
Mei 10, 2022 18:58 MYT
GERIK: Pasangan suami isteri maut setelah kereta yang mereka naiki terbabas lalu bertembung sebuah pacuan empat roda di Kilometer 76, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat sini semalam.
Mangsa, Mohd Azmi Imas, 47, dan isteri, Rohani Abdullah, 47, yang mengalami kecederaan parah disahkan dan maut di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, dua anak mereka yang turut berada di dalam kereta, masing-masing berusia 14 dan 18 tahun, mengalami kecederaan patah tangan kiri dan luka pada tangan.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 6.45 petang ketika mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kuala Berang, Terengganu selepas menghantar anak mereka belajar di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, nahas melibatkan kereta jenis Nissan Latio dinaiki keluarga berkenaan dengan sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun.
Menurutnya, ketika kejadian, kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli manakala pacuan empat roda pula dari arah bertentangan.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan pacuan empat roda.
"Nahas itu mengorbankan mangsa dan isterinya manakala pemandu dan dua penumpang Mitsubishi Triton pula tidak cedera," katanya di sini hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#suami isteri
#kemalangan
#pacuan empat roda
#Jalan Raya Timur Barat
#gerik-jeli
#Mohd Azmi Imas
#Rohani Abdullah
#terengganu