Suami isteri maut kemalangan elak babi hutan, lima beradik hilang tempat bergantung
Adie Sufian Zulkefli
Januari 12, 2024 08:45 MYT
Januari 12, 2024 08:45 MYT
SUNGAI PETANI: Sekelip mata lima beradik menjadi yatim piatu apabila ibu bapa mereka maut selepas motosikal dinaiki cuba mengelak daripada melanggar seekor babi hutan melintas lalu terbabas dan merempuh tiang eletrik di jalan bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, pada Khamis.
Mohd Norzianal Mohd Ainol, 46, menunggang motosikal jenis Duke KTM bersama isterinya, Suhana Othman, 43, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan tubuh.
Anak sulung pasangan itu, Fatin Hanani, 23, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa ibu bapanya selepas dimaklumkan oleh anggota polis yang datang ke rumah sewa mereka di Taman Pahlawan di belakang IPD Kuala Muda, di sini, pada pukul 1 pagi.
Katanya, pada mulanya dia tidak percaya tetapi selepas anggota polis berkenaan menunjukkan kad pengenalan kedua orang tuanya dia terus memeluk empat adiknya sambil menangis.
"Polis membawa kami lima beradik ke lokasi kejadian dan sebaik sampai saya terkejut melihat tubuh bapa di bawah motosikal manakala ibu terbaring tidak sedarkan diri bersebelahannya.
"Saya dan adik-adik hampir rebah melihat keadaan mereka tambahan lagi selepas dimaklumkan yang ibu bapa kami telah meninggal dunia," katanya yang juga mahasiswa Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang dan sedang menghabiskan cuti semester.
Menurut Fatin Hanani, dia kemudian bersama empat adiknya, Aida Batrisya,17, Alya Batrisya, 16, Adlin Irfan, 15, dan Adib Iman, 6, seperti hilang arah kerana hilang tempat bergantung.
Sementara itu, anak kedua pasangan itu, Aida Batrisya berkata, semasa kejadian, bapanya yang bekerja sebagai Pengurus Jualan Cuckoo dalam perjalanan untuk membeli makanan dan ditemani ibunya yang merupakan suri rumah.
"Sebelum itu bapa mengadu lapar dan mengajak ibu menemaninya untuk ke kedai.
“Tak sangka kami akan menjadi yatim piatu sekelip mata," katanya yang masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar.
Kata Aida Batrisya, adik bongsunya, Adib Iman yang merupakan murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar mula menangis selepas mengetahui ibu dan bapa mereka telah meninggal semasa berada di Hospital Sultan Abdul Halim.
"Buat masa sekarang, saya dan kakak serta dibantu bapa dan ibu saudara baru sahaja menyelesaikan pengebumian orang tua kami dan belum memikirkan untuk tinggal di mana selepas ini.
"Kemungkinan besar kami akan tinggal di rumah yang dibeli ibu dan sekarang didiami nenek di Taman Kempas," katanya.
Mayat pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan satu liang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu, Merbok, di sini, pada petang Khamis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.