Suami isteri maut kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja

Rudi Affendi Khalik
September 14, 2019 11:36 MYT
Keadaan kereta mangsa suami isteri yang maut dalam perjalanan ke tempat kerja. -Foto
Sepasang suami isteri yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Astana, Kuching awal pagi tadi.
Pasangan terbabit yang mempunyai dua anak, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan jam 5.50 pagi melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil dan Toyota Fortuner.
Mangsa dikenal pasti sebagai Reeco Juein, 34, dan isterinya Salome Micheal, 35.
Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Tiong Ling Hii ketika dihubungi memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.09 pagi.
Sebuah jentera dan ambulans EMRS dengan kekuatan 10 anggota kemudian diaktifkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya.
Kedua-dua mangsa maut terperangkap di dalam kereta Perodua Kancil dan pasukan bomba mengambil masa sekitar 20 minit untuk mengeluarkan mereka.
Punca nahas masih disiasat dan mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk prosedur bedah siasat.
Sementara itu, tiga lagi mangsa yang berada di dalam kenderaan Toyota Fortuner selamat.
#Jalan Astana #kemalangan jalan raya #Perodua Kancil #Reeco Juein #Salome Micheal #suami isteri maut #Tiong Ling Hii #Toyota Fortuner
;