Suami isteri maut gara-gara kereta masuk laluan bertentangan

Sinar Harian
Jun 1, 2024 13:54 MYT
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, kaki dan anggota tangan. -Foto Sinar Harian
ALOR GAJAH: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Bukit Hantu, Rembia, di sini, pada Jumaat malam.
Dalam kejadian lebih kurang jam 8.12 malam itu, mangsa lelaki, 67, yang bekerja sebagai tukang rumah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, 57, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden, Ashari Abu Samah, berkata, siasatan awal mendapati mangsa pasangan suami isteri yang menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan dari Lendu menghala ke Alor Gajah.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, kereta Proton Saga yang dipandu pelajar lelaki berusia 20 tahun telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal dinaiki mangsa.
"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan kepala, kaki dan anggota tangan.
"Manakala pemboncengnya disahkan meninggal dunia di Hospital Alor Gajah semasa menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Jelasnya, isteri mangsa bekerja di sebuah kilang telur dan kemalangan itu dipercayai berpunca daripada faktor kegagalan mengawal kenderaan.
"Mayat pasangan suami isteri telah di hantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi. -Sinar Harian
#Alor Gajah #suami isteri #Proton Saga #penunggang motosikal
;