Suami isteri maut, dua cucu cedera kereta bertembung lori

Aida Aziz
Mac 18, 2021 15:29 MYT
Pasangan itu dikenali sebagai Muhamad Zaidi Mohamad Dahalan, 57, dan Rosmiza Mohd Zain, 51, dari Tanah Merah, Kelantan. - JBPM
IPOH: Sepasang suami isteri maut manakala dua cucu mereka cedera selepas kereta dinaiki bertembung sebuah lori berdekatan Jalan Raya Timur Barat selepas hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, di sini, petang Khamis.
Pasangan itu dikenali sebagai Muhamad Zaidi Mohamad Dahalan, 57, dan Rosmiza Mohd Zain, 51, dari Tanah Merah, Kelantan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian menimpa pasangan itu serta dua kanak-kanak lelaki berusia enam dan lapan tahun itu pada pukul 3.59 petang.
"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dihantar ke lokasi kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, pasukannya mendapati dua kanak-kanak yang cedera ringan telah dikeluarkan oleh orang awam.
Mayat pasangan suami isteri itu kemudiannya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum diserah kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.
#Perodua #Kedah #polis #kemalangan #maut #meninggal dunia #Kanak-kanak #kereta #operasi #lelaki #Gerik #Jalan Raya Timur Barat #suami isteri maut #cucu cedera #pasangan #bertembung lori