Suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan dekat Rompin

Bernama
Januari 22, 2017 07:09 MYT
Dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Johor Bahru itu, isteri pemandu kenderaan pelbagai guna itu, Norhazaimi Abd Wahab, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. - Gambar hiasan
Sepasang suami isteri maut apabila kenderaan pelbagai guna dinaiki bersama seorang anak lelaki mereka terlibat kemalangan dengan tiga lagi kenderaan di KM116 Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Rompin pada Ahad.
Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu mangsa Mohd Shafiee Ngah, 50, yang merupakan pemandu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Rompin.
Isterinya, Norhazaimi Abd Wahab, 48, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Sementara anak lelaki mereka Muhammad Faris berumur lingkungan sembilan tahun cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini.
Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor berkata pemandu tiga lagi kenderaan berkenaan serta seorang penumpang mengalami luka-luka kecil. -- Bernama
#kemalangan Rompin #pasangan maut kemalangan
;