Suami isteri maut, cucu cedera dalam kemalangan
Adie Sufian Zulkefli
Disember 21, 2020 22:30 MYT
Disember 21, 2020 22:30 MYT
KULIM: Pasangan suami isteri maut manakala cucu lelaki mereka berusia empat tahun cedera selepas Perodua Myvi dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kulim-Serdang, berhampiran Kampung Badlishah di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Ng Mok Chong, 67, dan isterinya, Lim Seok Mooi, 62, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Cucu mereka serta pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta yang merupakan pasangan suami isteri anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth pula cedera dan dirawat di Hospital Kulim.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi itu dipercayai dari arah Kulim menghala ke Serdang manakala kereta Proton Saga itu dari arah bertentangan.
"Perodua Myvi itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Proton Saga FL.
"Penumpang wanita di belakang Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Kulim," katanya di sini, hari ini.
Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.