Suami isteri maut, anak cedera, nahas dua kereta di Kuala Kurau
Abd Razak Mohd Ali
Mac 5, 2025 10:10 MYT
Mac 5, 2025 10:10 MYT
Kemalangan membabitkan dua kereta terjadi di Jalan Pantai Batu 9, Batu Piandang, Kuala Kurau, awal pagi ini, menyebabkan sepasang suami isteri maut manakala seorang anak mereka cedera. - Foto JBPM Perak
IPOH: Sepasang suami isteri maut manakala seorang anak lelaki mereka cedera dalam nahas dua buah kereta di Jalan Pantai Batu 9, Batu Piandang, Kuala Kurau, awal pagi ini.
Dua yang meninggal dunia ialah pemandu berusia 59 tahun dan isterinya berumur 66 tahun manakala anak mereka yang cedera berusia 13 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 7.29 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nazrizal Safila Abu Samat digerakkan ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Perodua Kelisa dan Honda City, mengakibatkan dua mangsa yang berada di dalam Kelisa maut dan seorang mengalami kecederaan, manakala pemandu Honda City tidak dapat dikesan.
“Dua mangsa yang berada di dalam kereta Kelisa disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum pihak bomba sampai di lokasi dan mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh pihak KKM,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sabarodzi berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidrolik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.50 pagi.