Suami isteri mahu pulang raikan Hari Gawai maut

Rohana Wahed
Mei 28, 2018 16:28 MYT
Pihak polis masih menyiasat punca kejadian dan mayat kedua-duanya dihantar Hospital Serian untuk tindakan lanjut.
Pasangan suami isteri maut selepas tercampak ke bahu jalan apabila motosikal yang dinaiki terbakar selepas merempuh sebuah lori dalam kemalangan di Kampung Gedong, Serian Sarawak hari ini.
Kedua-dua mangsa Simon Pulin, 41 dan Jolia Asoi 39 berasal dari Kampung Batu Pengansah itu
yang sepatutnya meraikan sambutan Gawai Dayak empat hari lagi meninggal dunia di tempat kejadian.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sebelum kejadian pada jam 10.25 pagi itu, motosikal dinaiki pasangan itu hilang kawalan dan bertembung sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
"Impak pertembungan menyebabkan motosikal terbakar sebelum kedua-dua tercampak ke bahu jalan dan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan mengesahkan kejadian itu.
Jelasnya, pasukan bomba menerima laporan kemalangan itu pada pukul 10.28 pagi sebelum tujuh anggota bomba dari Serian bergegas ke tempat kejadian.
Pihak polis masih menyiasat punca kejadian dan mayat kedua-duanya dihantar Hospital Serian untuk tindakan lanjut.
#bahu jalan #Hospital Serian #Kampung Gedong #maut #motosikal #rempuh lori #Sarawak #Serian #suami isteri #terbakar #Tiong Ling Hii
;