Suami isteri kongsi minat mengembara seluruh negara dengan RV

Bernama
Januari 4, 2024 07:30 MYT
Mohd Ghazali dan Nur Adriana bersama campervan yang dibeli pada harga RM80,000 dan diberi sentuhan hiasan dalaman oleh mereka sendiri. - Foto BERNAMA
MELAKA: Jika dahulu keduanya sering terbang di awan biru berkhidmat sebagai kru penerbangan, kini pasangan suami isteri ini berkongsi minat sama dengan mengembara dalam negara menggunakan van diubah suai menjadi kenderaan rekreasi (RV) yang dibeli mereka sejak September 2022.
Mohd Ghazali Udin, 63, dari Seremban, Negeri Sembilan berkata kenderaan rekreasi juga menjadi trend pada masa kini dan semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat yang turut berkongsi minat mengembara menggunakan campervan, motorhome dan karavan untuk bersiar dan bersantai bersama keluarga.
Beliau dan isteri, Nur Adriana Wong Abdullah, 63, berkata pantai, sungai atau tasik biasanya menjadi lokasi pilihan mereka untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan pengalaman menyeronokkan.
"Menggunakan campervan ini kita boleh tidur di mana-mana tempat yang sesuai dengan selamat selain dapat menjimatkan banyak wang daripada menginap di hotel atau inap desa ketika mengembara.
"Aktiviti ini sangat sesuai untuk seisi keluarga dan apa yang penting untuk melakukan aktiviti ini, ia perlukan minat mendalam bukan sekadar untuk mencuba-cuba selepas membeli kenderaan rekreasi itu," katanya yang ditemui pemberita di Recreational Vehicle (RV) Park Taman Bandaraya, Bukit Serindit di sini.
Mohd Ghazali berkata campervan putih yang dibeli pada harga RM80,000 itu diberi sentuhan hiasan dalaman oleh mereka sendiri termasuk katil, tilam, peti ais, singki selain kemudahan lain seperti meja, kerusi, kipas, dapur memasak yang dijadikan sebagai rumah mini bergerak.
Beliau berkata hobi itu bermula selepas pandemik COVID-19 dan setiap bulan mereka akan bergerak secara berkumpulan dengan rakan-rakan lain daripada Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia (PCMM) ke lokasi menarik untuk berkelah dan melakukan aktiviti riadah.
Menurut Mohd Ghazali antara lokasi paling jauh beliau dan isteri pernah mengembara dengan campervan jenis Toyota Hiace itu ialah Kanchanaburi, Thailand dengan jarak perjalanan lebih 3,000 kilometer bersama beberapa rakan pada dua tahun lepas.
"Kebanyakan negeri telah kami singgah, namun tahun ini kami merancang untuk tempat lebih terpencil bagi mengenali budaya masyarakat selain berhasrat menjelajah Borneo," katanya.
Sementara itu, Nur Adriana berkata antara kelengkapan yang wajib mereka bawa ketika mengembara ialah bekalan air dan gas untuk kegunaan memasak dan minum.
Beliau berkata kebiasaannya mereka akan berhenti di kawasan yang terdapat kemudahan tandas awam supaya mudah untuk membersihkan diri dan memasak barangan keperluan yang dibawa dari rumah.
"Sememangnya aktiviti seumpama ini sangat mengujakan kerana tidur dalam campervan suasananya sangat berbeza dan seronok, lebih-lebih lagi jika berada di kawasan alam semula jadi.
"Sebagai orang Malaysia, kita juga sudah sedia terbiasa dengan keadaan cuaca panas dan hujan yang tidak menjadi penghalang kepada kami pergi ke mana-mana destinasi sekiranya ada masa terluang," katanya.
-- BERNAMA
#Seremban #kenderaan rekreasi #RV #campervan
;