Suami isteri & jiran naik kereta bersama mahu beli barang didenda RM1,000

Bernama
April 24, 2020 06:20 MYT
Di Mahkamah Ampang, 10 individu mengaku bersalah, atas kesalahan melanggar PKP dengan pelbagai alasan antaranya keluar membeli susu anak, membeli barang di kedai dan pasar raya dan pergi ke rumah kawan.
Akibat menaiki kereta beramai-ramai untuk membeli barang di sebuah pasar raya, sepasang suami isteri dan jiran mereka, masing-masing didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Muhammad Hanafi Abdullah, 27, bersama isterinya, Syrifah Saadiah Syd Taha, 26, dan jiran mereka, Salmah Khalid, 45, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret M. Saravanan.
Mereka didakwa bersama-sama telah gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, bagi mencegah dan mengawal apa-apa penyakit, dengan menaiki sebuah kereta secara beramai-ramai seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020, di sekatan jalan raya, Batu 5, Lebuh raya Besraya, di sini, pada 10.10 pagi, 16 April lepas.
Mereka didakwa mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020, yang membawa hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Saravanan menasihati mereka supaya mematuhi arahan kerajaan bagi mengekang COVID-19.
“Lebih baik buat senarai barang dan wakilkan seorang sahaja yang pergi beli barang,” katanya.
Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda minimum dan menyesal atas perbuatan mereka, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid memohon hukuman setimpal, supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Sementara itu, di mahkamah sama dan dua Mahkamah Majistret berasingan 50 lagi individu termasuk lapan wanita dipenjara antara tujuh dan 14 hari atau denda antara RM700 dan RM1,000, selepas mereka mengaku bersalah, berhimpun dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain termasuk membeli tisu, mahu beri makanan kepada adik angkat, dan membayar hutang.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh termasuk 14 warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar dipenjara bermula dari tarikh tangkap antara 15 dan 23 April dan dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda itu.
Kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 43 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar Kuala Lumpur antara 15 hingga 23 April.
Di Mahkamah Ampang, 10 individu termasuk sepasang kekasih serta warganegara Filipina dan Indonesia mengaku bersalah, atas kesalahan melanggar PKP dengan pelbagai alasan antaranya keluar membeli susu anak, membeli barang di kedai dan pasar raya dan pergi ke rumah kawan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM600 hingga RM700 atau penjara sebulan terhadap mereka, manakala hukuman ke atas seorang remaja berumur 17 tahun bagi pasangan kekasihnya ditangguhkan kepada 24 Jun, sementara menunggu laporan akhlak.
Kesemua tertuduh yang berusia 17 hingga 49 tahun itu dituduh melakukan kesalahan di beberapa lokasi berasingan di Taman Bukit Indah, Taman Keramat, Taman Melawati, Pandan Indah, Taman Melati, di sini, antara 1.30 petang hingga 1.35 pagi, 29 Mac hingga 17 April lepas.
Di Mahkamah Majistret Selayang, lima lelaki berumur antara 27 hingga 32 tahun masing-masing didenda maksimum RM1,000 atau penjara tiga bulan kerana keluar rumah dengan minum arak dan berhimpun, di tempat letak kenderaan Delima Desa Putra, Jalan Bunga Raya 2, Batu Caves di sini pada 6.30 petang, 22 April lepas.
Kesemua mereka didakwa mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
-- BERNAMA
#Ampang #Bangladesh #berhimpun #COVID-19 #denda #Indonesia #ingkar PKP #jangkitan #jiran #Kekasih #Kuala Lumpur #laporan akhlak #mahkamah #minum arak #Myanmar #pasar raya #penjara #penyakit berjangkit #PKP #Selayang #suami isteri
;