Suami isteri hasilkan minuman segera bercampur dadah ditahan

Bernama
April 18, 2022 18:58 MYT
Polis menahan lelaki berusia 40 tahun dan isterinya 31 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM214,776 di rumah teres dua tingkat didiami pasangan tersebut. - Gambar/ Bernama
NIBONG TEBAL: Polis menahan suami isteri dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang mencampurkan serbuk dadah serta dibungkus menjadi pelbagai jenis minuman segera seperti jus buah-buahan, coklat, teh dan minuman tiga dalam satu, dalam serbuan di sebuah rumah di Simpang Ampat, di sini 13 April lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Lee Chong Chern berkata dalam serbuan pada 3 petang itu, polis menahan lelaki berusia 40 tahun dan isterinya 31 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM214,776 di rumah teres dua tingkat didiami pasangan tersebut.
"Dalam serbuan itu, kami merampas 164 bungkusan minuman segera yang telah dicampur dengan dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) yang setiap satunya dijual dengan harga RM100, anggaran berat dadah MDMA yang dirampas sebanyak 4,209.88 gram(g) bernilai RM210,494.
"Selain itu, polis turut merampas eramin 5 seberat 7.76g, syabu (27.64g), ketamin (5.42g) dan pil ekstasi sebanyak 9.52g yang kesemuanya dadah dirampas dalam serbuan tersebut bernilai RM214,776," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya berdasarkan siasatan awal, lelaki itu memproses dadah bersama rakannya, yang polis sedang kesan ketika ini di sebuah rumah lain dan suspek menyimpannya di rumah tersebut sebelum dia bersama isterinya menjual kepada orang tengah untuk diedarkan.
Lee berkata siasatan juga mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah dalam kuantiti yang banyak daripada sindiket pengedaran dadah sebelum mencampurkan dalam minuman segera dan membungkusnya semula.
Katanya pasangan itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak dua tahun lepas dengan pasaran sekitar daerah SPS dan mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.
"Mereka menggunakan minuman segera berjenama yang terdapat di pasaran dan siasatan kami mendapati ia (minuman segera mengandungi MDMA) dijual untuk pasaran bagi parti liar serta pusat hiburan untuk orang berhibur," katanya.
Beliau berkata ujian air kencing mendapati pasangan suami isteri yang tidak bekerja itu positif dadah dan mereka yang direman sehingga 20 April ini mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah.
"Susulan penahanan pasangan itu, polis menyita sebuah kereta dan pelbagai barangan kemas yang kesemuanya bernilai RM37,240. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya sambil menambah semua dadah itu boleh digunakan 851 penagih.
-- BERNAMA
#Dadah #minuman segera #sindiket pengedaran dadah #simpang ampat
;