Suami isteri fail saman cuai terhadap SIC, sebabkan kematian anak ketika perlumbaan
Bernama
Oktober 27, 2016 07:30 MYT
Oktober 27, 2016 07:30 MYT
Sepasang suami isteri menfailkan saman terhadap penganjur sukan permotoran, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC), atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan kematian anak mereka Muhammad Izzat Mohd Abdul Hakim, pelumba pada Kejuaraan Motosikal Super Siri Malaysia (MSS), tiga tahun lepas.
Mohd Abdul Hakim Embong dan Norhaidah Mohd Noor memfailkan saman itu pada 15 Sept lepas di Mahkamah Tinggi di sini dan menamakan SIC dan syarikat permotoran, AAM Motorsports Sdn Bhd sebagai defendan pertama dan kedua.
Peguam Jefri Jaafar yang mewakili pasangan itu selaku plaintif memberitahu pemberita bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah menetapkan 24 Nov ini untuk pengurusan kes itu.
Tarikh itu ditetapkan di dalam kamar semasa kes itu disebut di hadapan Tun Abdul Majid. Turut hadiri peguam Syafiq Saadiq yang mewakili SIC.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, pasangan itu mendakwa Muhammad Izzat, 17, yang merupakan pelumba motosikal di bawah Projek SIC Ninja Junior, telah menyertai perlumbaan di bawah kategori Kawasaki Ninja 250R Cup di Litar Antarabangsa Sepang pada 21 Sept 2013.
Mereka berkata semasa perlumbaan itu, Muhammad Izzat terlibat dengan kemalangan apabila motosikalnya terbabas dan melanggar seorang marsyal bendera, S. Satish, 44, yang berada di kawasan litar itu di garisan penamat.
Akibat pelanggaran itu, Satish meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Izzat berada dalam keadaan koma dan meninggal dunia lima hari kemudian.
Pasangan itu mendakwa defendan pertama telah gagal atau cuai menyediakan pegawai perubatan yang cekap dan berpengalaman di litar perlumbaan untuk memberikan rawatan dan bantuan perubatan semasa berlaku kecemasan.
Mereka juga mendakwa defendan pertama dan kedua telah gagal atau cuai dalam memastikan tiada halangan atau individu berada di kawasan garisan penamat pada masa litar tersebut digunakan sepenuhnya oleh pelumba.
Selain itu, defendan juga didakwa gagal mematuhi peraturan dalam sukan permotoran terutamanya membabitkan kedudukan marsyal bendera ketika perlumbaan.
Plaintif menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta kos guaman dan lain-lain relif yang difikikan sesuai. - BERNAMA