Suami isteri, dua beradik antara ditahan jadikan hotel bajet 'port' edar dadah
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 8, 2021 16:16 MYT
Januari 8, 2021 16:16 MYT
BALIK PULAU: Pasangan suami isteri serta dua beradik lelaki, merupakan antara yang ditahan terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah yang menjadikan hotel bajet di Bayan Lepas, di sini sebagai lokasi pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, kesemua suspek terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita tempatan itu ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) pada 5 Januari lepas.
Anbalagan berkata, dalam serbuan bermula jam 11 pagi itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM44,472.85.
Menurut Anbalagan, dalam serbuan pertama pasangan suami isteri berusia 31 dan 29 tahun itu ditahan bersama dua lagi suspek di dalam sebuah bilik hotel bajet dan hasil pemeriksaan telah menemui bungkusan dadah yang disyaki heroin dan syabu.
Susulan penahanan empat suspek terbabit, polis turut menyerbu sebuah lagi bilik di hotel sama dan menahan tiga lagi rakan mereka berusia 19 hingga 23 tahun yang juga disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.
Siasatan awal mendapati suspek sudah tiga bulan menjadikan hotel berkenaan sebagai lokasi pengedaran dadah kepada pelanggan di sekitar daerah Barat Daya.
Sementara itu Anbalagan berkata, polis turut menyerbu serbuan sebuah pondok di Jalan Sungai Batu, Teluk Kumbar, dan telah menemui dadah jenis pil erimin 5 dan syabu seberat 257.25 gram yang disimpan di situ.
Susulan serbuan itu, polis menahan dua suspek lelaki berusia 37 dan 39 tahun.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan dalam tiga serbuan itu saling berkaitan antara satu sama lain dan polis kini sedang mengesan dalang sindiket berkenaan.
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati lapan suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dengan maksimum 17 kes seorang.
#suami isteri
#edar dadah
#dua beradik
#hotel bajet
#Bayan Lepas
#Polis Daerah Barat Daya
#sindiket penyeludupan dadah