Suami isteri ditahan simpan ganja bernilai RM110,000
Bernama
Januari 25, 2013 20:46 MYT
Januari 25, 2013 20:46 MYT
Polis menahan sepasang suami isteri yang juga pemilik gerai makan di Kampung Baru di sini kerana disyaki mengedar dan menyimpan dadah bernilai RM110,000.
Mereka ditahan dalam serbuan polis di gerai makan itu pada 4.30 petang semalam yang menyaksikan rampasan ganja seberat 670 gram, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh pada sidang akhbar di sini Jumaat.
Beliau berkata kira-kira sejam selepas serbuan di gerai itu, polis menyerbu sebuah stor kira-kira 200 meter di belakang rumah pasangan itu dan merampas 40 ketulan mampat dipercayai ganja yang telah dibalut.
"Pasangan berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti itu sejak beberapa tahun lepas," katanya.
Beliau berkata polis turut menahan tiga lelaki warga tempatan dipercayai pembeli dadah itu.
"Kesemua suspek yang ditahan berumur antara 32 dan 53 tahun dan saringan awal urin mendapati mereka positif dadah jenis ganja," katanya sambil memberitahu suspek ditahan reman hari ini hingga Khamis.