Suami isteri ditahan rentas negeri tanpa surat, maki polis

Adie Sufian Zulkefli
Mac 17, 2021 10:27 MYT
Pemeriksaan sekatan jalan raya yang dilakukan di Jalan Junjong, Kulim pada Selasa. - Foto ihsan PDRM
KULIM: Sepasang suami isteri ditahan polis atas kesalahan merentas negeri tanpa surat kebenaran selain menghalang penjawat awam ketika melalui pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) COVID-19, di Jalan Junjong, Kulim semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, anggotanya menahan kereta jenis Honda Jazz hitam yang dinaiki pasangan suami isteri itu bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.
Beliau berkata, pasangan itu dari arah Pulau Pinang memaklumkan, mereka mempunyai urusan pertukaran sekolah anaknya ke Kedah namun gagal menunjukkan surat dokumen berkaitan persekolahan.
"Anggota polis berkenaan cuba menjelaskan secara berhemah dan tegas kepada pasangan berkenaan bahawa sebarang pergerakan rentas negeri tidak dapat dilakukan sekiranya tiada surat kebenaran.
"Anggota polis itu kemudian meminta kad pengenalan dari lelaki berkenaan untuk pemeriksaan rutin namun pasangan suami isteri itu keluar dan memaki hamun anggota terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azhar berkata, berikutan itu pasangan berusia 37 dan 40 tahun itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut manakala kanak-kanak berkenaan dibebaskan dan diserahkan kepada ibu saudaranya.
Beliau berkata, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 4 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).
"Manakala isterinya ditahan mengikut Peraturan 4 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No.2) 2021," katanya.
#PKP #SJR #polis #ditahan #Azhar Hashim
;