Suami isteri ditahan polis dera pembantu rumah warga Kemboja

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 25, 2021 09:42 MYT
Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 dan Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. - Gambar hiasan
BUKIT MERTAJAM: Sepasang suami isteri ditahan polis selepas dipercayai mendera pembantu rumah mereka, seorang warga Kemboja.
Pasangan yang masing-masing berusia 50-an dan 60-an itu ditahan di kediaman mereka di Jalan Perpaduan, Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 9.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata, mangsa yang berumur 30-an berjaya diselamatkan anggota polis Cawangan D7 IPD SPT selepas menerima aduan daripada orang awam.
"Semasa pemeriksaan, anggota kita mendapati mangsa terbaring di atas lantai dalam sebuah bilik di rumah tersebut.
"Pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan, antaranya di bahagian muka, calar di badan dan kaki serta bekas parut melecur di lengan, luka bekas jahitan di tubuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shafee berkata, hasil siasatan, mangsa memberitahu sering dipukul, dicubit selain disimbah dengan air panas sepanjang bekerja di rumah majikannya itu sejak dua tahun lepas.
Mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.
Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 dan Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga tahun dan 20 tahun, atau denda.
#Seberang Perai #PDRM #polis #mangsa #suspek #dera #siasatan #Shafee Abd Samad #warga Kemboja #suami isteri #cedera #melecur #cubit #majikan #pembantu rumah
;