Suami isteri ditahan miliki dadah lebih RM2 juta diseludup melalui Sungai Golok
Muhafandi Muhamad
Ogos 11, 2021 16:52 MYT
Ogos 11, 2021 16:52 MYT
PASIR MAS: Sepasang suami isteri ditahan polis kerana memiliki dadah jenis heroin dan pil kuda bernilai lebih RM2 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata dalam serbuan itu, pihak polis menemui dadah jenis 'heroin base' seberat 13.295 kilogram (kg) bernilai lebih RM1.2 juta serta 86,000 biji pil kuda dengan nilai pasaran RM860,000.
Katanya, operasi berkenaan hasil kerjasama Jabatan Siastan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.
Shafien berkata, suspek lelaki berusia 27 tahun ditahan di tepi jalan di sekitar Pasir Mas sebelum dia membawa pasukan polis ke rumahnya dalam operasi jam 1.20 tengah hari itu.
"Sebaik tiba di rumah berkenaan, terdapat seorang wanita yang juga isteri suspek iaitu warga Thailand berusia 23 tahun di premis itu.
"Pemeriksaan diteruskan di kediaman berkenaan sebelum polis menemui semua dadah terbabit di dalam bungkusan serta beg berwarna biru di salah sebuah bilik," katanya pada sidang media di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati dokumen perjalanan wanita Thailand itu sudah tamat tempoh.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, suspek yang juga pemandu lori dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah yang sudah ditumpaskan polis sebelum ini dan semua dadah berkenaan adalah untuk pasaran selatan tanah air.
Katanya, polis percaya pasangan suami isteri yang turut mempunyai rekod jenayah lampau penyalahgunaan dadah itu membawa masuk dadah tersebut dari Thailand melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.
Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 8 Ogos untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.
#Kelantan
#rampasan dadah
#RM2 juta
#Shafien Mamat
#suami isteri
#Sungai Golok
#seludup
#pangkalan haram