Suami isteri ditahan edar dadah lebih 10kg, nilai setengah juta ringgit

Amirrul Rabbani
Jun 28, 2023 11:52 MYT
Turut disita, sebuah kereta jenis Nissan Almera dan wang tunai dengan nilai keseluruhan berjumlah RM41,200. - Foto Astro AWANI
IPOH: Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis bahan itu yang dianggarkan seberat lebih 10 kilogram (kg) dengan nilai setengah juta ringgit di sini, pada Isnin.
Suami, warga tempatan berusia 39 tahun, dan isterinya, warga China berusia 37 tahun, ditahan di sebuah rumah di Jalan Medan Ipoh, pada jam 7.45 malam.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil serbuan pertama pihaknya menemukan dadah disyaki jenis ketamin anggaran berat 8.5 gram (g), lapan biji pil disyaki pil ecstacy anggaran berat 3.3g; lima biji pil disyaki pil erimin 5 anggaran berat 1.35g; dan serbuk dadah disyaki serbuk ecstacy anggaran berat 22.4g.
Susulan itu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Perak menyerbu sebuah lagi rumah pada hari sama di jalan sama, dipercayai menjadi tempat penyimpanan dan membungkus dadah pada jam 10.25 malam.
“Hasil serbuan pihak polis menemukan dadah disyaki dadah jenis ketamin 757g; 2,765 biji pil disyaki pil ecstacy anggaran berat 1,088g; 15,250 biji pil disyaki pil erimin 5 anggaran berat 4.33kg; serbuk dadah disyaki serbuk ecstacy anggaran berat 1.02kg; 141 paket serbuk minuman disyaki serbuk ecstacy anggaran berat 3.43kg.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM538,646. Turut dirampas, sejumlah peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.
Tambah Mohd Yusri, sebuah kereta jenis Nissan Almera dan wang tunai turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM41,200.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek suami positif dadah jenis ketamin, sementara hasil semakan mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kedua-dua suspek dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua tahun lalu.
“Dadah yang dirampas, disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak. Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 40,000 orang penagih dadah.
“Suami isteri itu yang juga penganggur, berperanan membungkus dadah berkenaan yang dipercayai diperoleh dari selatan tanah air untuk diedarkan,” tambahnya.
Menurut Mohd Yusri, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari mulai 27 Jun bagi membantu siasatan.
#sindiket pengedaran dadah #warga china #Mohd Yusri Hassan Basri #suami isteri ditahan polis
;