Suami isteri ditahan di Bukit Dumbar, 47.3kg ganja dirampas

Bernama
April 11, 2016 15:52 MYT
Menurut sumber, polis tidak menolak kemungkinan bekalan ganja itu baru diambil daripada sindiket dan untuk dihantar kepada pembeli.
Sepasang suami isteri ditahan dan polis merampas 47.3 kilogram (kg) ganja bernilai kira-kira RM150,000 di Bukit Dumbar, di sini hari ini.
Pasangan itu ditahan dalam sebuah kereta oleh Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman selepas mengekori kereta terbabit di kawasan itu pada pukul 11 pagi ini.
Hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis ganja yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan.
Menurut sumber, polis tidak menolak kemungkinan bekalan ganja itu baru diambil daripada sindiket dan untuk dihantar kepada pembeli.
"Pasangan warga tempatan berusia 30-an itu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang aktif di Pulau Pinang. Lelaki terbabit juga positif dadah," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Sumber berkata sindiket yang bergerak aktif sejak beberapa bulan lepas itu dipercayai mendapatkan bekalan dari negara jiran sebelum membungkusnya semula dan menjual kepada pembeli.
Katanya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan anggota sindiket pengedaran dadah berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman twiternya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan Sting PDRMSia atas kejayaan itu.
"Syabas Sting PDRMsia tadi tangkap dua orang di Bukit Dumbar Pulau Pinang dan rampas 47.3kg ganja. GoPDRMgo," katanya.
Satu sidang akhbar berhubung rampasan itu dijadual diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang esok.
#Bukit Dumbar #ganja #polis