Suami isteri ditahan bersama dadah RM1.55 juta
Astro Awani
April 23, 2018 18:49 MYT
April 23, 2018 18:49 MYT
Sepasang suami isteri ditahan bersama dadah bernilai RM1.55 juta dalam serbuan di rumah sewa mereka di Tanjung Lumpur, Kuantan pada Jumaat lalu.
Suspek berusia 31 tahun dan isterinya 30 tahun ditahan di rumah yang disewa sejak dua tahun lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuantan pada 10.05 pagi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata hasil siasatan dijalankan mendapati pasangan yang berasal dari Terengganu itu baru berjinak-jinak dengan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kuantan dan Kemaman, Terengganu.
Hasil serbuan, polis merampas empat bungkusan plastik dipercayai syabu seberat 4.15 kilogram serta 36,000 pil yaba seberat 4.08 kilogram dengan anggaran keseluruhan dadah bernilai RM1.55 juta.
“Siasatan mendapati mereka cuba mencari pengedar kecil-kecilan ataupun tokan dadah di kawasan Kuantan ini, namun kami berjaya memintas dan membuat tangkapan pada tarikh yang berkenaan.
"Kita percaya mereka berdua cuba mengedar dadah di beberapa kawasan di negeri Pahang ini dan juga di Kemaman, Terengganu.”
Menurut Rosli, polis percaya mereka baru sahaja terlibat dengan kegiatan ini dan kedua-dua suspek juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati pasangan tersebut negatif dadah.
Turut dirampas, selaras senapang yang dibeli dalam talian dengan harga RM1,100 kononnya digunakan untuk menembak burung.
Kedua-dua suspek ditahan reman hingga 26 April ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.