Suami isteri direman kes bunuh warga emas
Adie Sufian Zulkefli
Jun 2, 2023 11:53 MYT
Jun 2, 2023 11:53 MYT
KANGAR: Sepasang suami isteri direman selama tujuh hari bersabit kejadian mendera seorang warga emas sehingga meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang, Arau, pada Khamis.
Perintah reman dikeluarkan Majistret, Siti Nor Hasliza Md Ali, ke atas kedua-dua suspek bermula hari ini sehingga 8 Jun bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pasangan suami isteri masing-masing berusia 34 tahun itu ditahan di rumah mereka pagi Khamis selepas polis menerima laporan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada Khamis polis menerima maklumat sekitar jam 5.30 pagi melibatkan seorang wanita mualaf berusia 74 tahun berasal dari Paka, Terengganu dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar sejam sebelum itu kerana tidak sedarkan diri.
Mangsa, Rashidah Chong pada mulanya telah dihantar ke Unit Kecemasan hospital berkenaan pada pukul 4.10 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri walaupun pasukan perubatan telah memberi rawatan awal.
Katanya, pemeriksaan dilakukan pasukan perubatan pada bahagian luaran badan mangsa mendapati kesan lebam di kedua-dua mata, dahi, telinga kanan dan sedikit kesan luka pada jari kaki kiri.
Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan doktor mengesahkan mangsa mengalami patah tulang rusuk kiri akibat tekanan dan punca kematian diklasifikasikan sebagai ‘pending laboratory analysis’ atau sementara menunggu keputusan makmal.
Ahmad Mohsin berkata, hasil siasatan awal mendapati anak perempuan mangsa turut mengaku ada memukul warga emas berkenaan dengan menggunakan tangan di bahagian muka dan kepala.
Katanya, menantu mangsa juga disyaki terlibat dalam kejadian itu berdasarkan kepada keterangan yang meragukan.
Kejadian berpunca daripada pertengkaran dimana anak perempuan mangsa dikatakan tidak tahan dan terlampau tertekan dengan ragam warga emas itu yang menghidap strok pada bahagian badan sebelah kiri.