Suami isteri dipenjara 5 tahun lakukan amang seksual remaja OKU
Bernama
Januari 15, 2024 16:10 MYT
Januari 15, 2024 16:10 MYT
KLANG: Sepasang suami isteri masing-masing dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 14 tahun pada November dan Disember tahun lepas.
Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Hizwan Kamarudin, 33, dan Norehan Abu Kasim, 36, yang mengekalkan pengakuan bersalah pada 8 Dis lepas terhadap tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh anggota badan mangsa.
Pasangan terbabit juga dihukum penjara dua tahun bagi pertuduhan amang seksual bukan fizikal kerana menyebabkan mangsa memerhati perbuatan kedua-dua tertuduh yang bersifat seksual, selain Khairul Hizwan turut dihukum penjara setahun kerana menyimpan video lucah.
Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkapan pada 1 Dis tahun lepas, selain menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.
Bagi kesalahan amang seksual fizikal, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.
Pasangan itu juga didakwa di bawah Seksyen 15(d) AKSTK 2017 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, bagi pertuduhan amang seksual bukan fizikal.
Khairul Hizwan turut mengaku menyimpan beberapa video lucah di dalam telefon bimbitnya dan didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pasangan itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat pada 12 Nov dan 1 Dis 2023.
Ketika rayuan, mereka yang tidak diwakili peguam meminta dikenakan hukuman ringan dan berjalan serentak, namun Timbalan Pendakwa Raya Nurul 'Izzati Mohamad memohon hukuman berat dengan alasan kesalahan itu serius, selain melibatkan mangsa bawah umur.
Mengikut fakta kes, pasangan suami isteri terbabit telah menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa agar datang ke rumah mereka untuk melipat baju. Mangsa yang hadir kemudiannya telah diarahkan melipat baju di dalam bilik sebelum berlakunya perlakuan amang seksual itu.
-- BERNAMA