Suami isteri didakwa perdagang tiga wanita ke Yaman
Bernama
November 11, 2024 20:00 MYT
November 11, 2024 20:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita tempatan ke Yaman, sejak Mei tahun lepas.
Mohd Azfar Abd Ghafar, 37, dan Khadijah Yusoff, 31, didakwa bersama-sama memperdagangkan tiga wanita berusia 19, 27 dan 38 tahun, bagi maksud eksploitasi di sebuah rumah tidak bernombor di Tarim, Yaman antara 25 Mei 2023 hingga 4 Julai lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 12 Akta Antiperdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Amir Haniff Ahijman tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan kes berkenaan melibatkan tiga mangsa warga tempatan, yang dieksploitasi ke luar negara.
"Sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk menawarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM50,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan," katanya.
Peguam Datuk Adnan Seman yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan dikurangkan atas alasan keluarga mereka tidak berkemampuan dan hanya mengharapkan hasil sewaan rumah.
"Saya mohon supaya anak guam tidak perlu melaporkan diri di balai polis, memadai syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah," katanya.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 16 Dis ini untuk sebutan kes.
-- BERNAMA