Suami-isteri didakwa memperdagang lapan remaja
Muhafandi Muhamad
Mei 14, 2017 17:26 MYT
Mei 14, 2017 17:26 MYT
Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap lapan pertuduhan memperdagangkan lapan remaja berusia 13 hingga 16 tahun untuk tujuan eksploitasi, Mac lalu.
Tertuduh, Muslim Ab Karim, 56, dan isterinya Zaleha Mohamad, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa bersama-sama memperdagangkan lapan remaja terbabit untuk tujuan eksploitasi di hadapan sebuah bank di Jalan Mahmood dan Taman SBJ, Panchor antara jam 11.35 malam, 13 Mac 2017 hingga 12.25 tengah malam, 14 Mac 2017.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas.
Mahkamah menetapkan 11 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Kuantan dan Raub terhadap kesalahan sama.