Suami isteri didakwa cuai, sebabkan anak dua tahun positif dadah

Bernama
September 5, 2024 15:00 MYT
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 14 Oktober untuk sebutan semula kes. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kecuaian kepada anak perempuan mereka berusia dua tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak itu positif dadah.

Ringkasan AI
  • Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan kecuaian terhadap anak perempuan mereka yang berusia dua tahun, menyebabkan kanak-kanak itu positif dadah.
  • Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun, jika disabit kesalahan.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 14 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pengawal peribadi berusia 31 tahun dan suri rumah berumur 30 tahun itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Jalan Kelang Lama, Kampung Pasir Baru di Brickfields di sini pada 3.15 petang, 10 Ogos lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Peguam Birr Zamier Abu Bakar yang mewakili pasangan terbabit memohon jaminan rendah atas alasan kedua-dua anak guamnya menanggung keluarga iaitu tiga orang anak termasuk mangsa dan tidak mempunyai pendapatan tetap selain tertuduh wanita mempunyai penyakit asma.
Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Okt ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#ibu bapa cuai #anak kecil positif dadah #budak dua tahun #kes mahkamah