Suami isteri didakwa beri sokongan kepada militan IS

Astro Awani
November 11, 2014 09:51 MYT
Tiada pengakuan dicatitkan namun keempat-empat mereka faham tuduhan yang dihadapi mereka. - Astro AWANI
Sepasang suami isteri, Amir Azlan Zainuddin dan Nazahatulshima Sahak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan cuba memberikan sokongan terhadap pengganas Islamic State (IS).
Turut dihadapkan ke mahkamah dua pekerja kedai makan Muhammad Fadhil Ibrahim dan Mohd Naieem Apandi atas tuduhan yang sama.
Tiada pengakuan dicatitkan namun keempat-empat mereka faham tuduhan yang dihadapi mereka.
Azlan, 48, Nazhatulshima, 44 yang merupakan pengusaha Taska, Muhammad Fadhil, 24 dan Muhammad Naeem, 24 didakwa cuba memberi sokongan ke IS dengan cara membeli tiket penerbangan pesawat Emirates dari KLIA ke Istanbul Turki untuk ke Syria.
Perbuatan dilakukan jam 10.50 malam di Restoran Hakim Sdn Bhd, Jalan Zirkon E7/E, Seksyen 7 Shah Alam.
Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 130 J (1) (a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 511 kanun yang sama.
Sabit kesalahan membawa hukuman penjara seumur hidup.
Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin menetapkan kes disebut semula 17 Disember bagi pengurusan kes.
#IS #Islamic State #Mahkamah Majistret