Suami isteri didakwa 60 pertuduhan salah guna wang syarikat
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 8, 2021 17:29 MYT
Januari 8, 2021 17:29 MYT
BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas 60 pertuduhan menyalahgunakan wang milik sebuah syarikat pada Julai dan Ogos tahun lalu.
Tertuduh, Nor Hasni Edirin Hasan, 41, mengaku bersalah, manakala isterinya, Siti Hajar Hasan Basri, 36, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Foon Char Peng.
Kedua-dua mereka didakwa secara bersama, dengan curang menyalahgunakan wang milik syarikat Mandy Corporation Sdn Bhd yang berjumlah RM191,312.70.
Mengikut pertuduhan kesalahan didakwa dilakukan di beberapa buah bank di daerah Seberang Perai Utara di antara 4 Julai hingga 11 Ogos 2020.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara selama enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norliza Ab. Aziz dan Asma' Amira Shahidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM360,000 iaitu RM3,000 bagi setiap pertuduhan setiap seorang.
Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 2 Februari depan.
#salah guna wang
#suami isteri
#Mahkamah Majistret Butterworth
#Nor Hasni Edirin Hasan
#Siti Hajar Hasan Basr
#Mandy Corporation Sdn Bhd