BUKIT MERTAJAM: Satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi pasangan suami isteri tumpas apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Malwira, di sini, Rabu lalu.

Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) selepas polis menerima maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, dalam serbuan sekitar puku 11 malam itu, polis turut merampas 29 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 30 kilogram (kg) bernilai RM75,000.

Kesemua dadah itu ditemui disorok dalam bungkusan guni di rumah tersebut sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Ketika serbuan terdapat seorang lelaki warga tempatan bersama isterinya yang merupakan warga Thailand  berada dalam rumah berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas rumah yang didiami pasangan berusia 32 dan 36 tahun itu kemudiannya menemui 29 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 30 kg bernilai RM75,000,” kata Cheng San dalam sidang media IPD Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

Menurut Cheng San, hasil soal siasat mendapati  pasangan suami isteri itu mula aktif menjalankan  kegiatan pengedaran dadah  sejak Mei tahun lalu.

“Ujian saringan air kencing ke atas mereka berdua mendapati kedua-duanya negatif dadah, namun salah seorang daripadanya  mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Cheng San berkata, selain dadah polis turut menyita sebuah kereta dan beberapa jenis barangan kemas dengan nilai sitaan berjumlah RM103,270.

Beliau berkata, pasangan berkenaan kini direman  selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup sekiranya disabitkan kesalahan.

Menurutnya, dadah yang dirampas itu  dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 60,000 penagih dadah.