Suami isteri dalangi sindiket penipuan cepat kaya, mangsa rugi ribuan ringgit

Astro Awani
Januari 2, 2017 11:29 MYT
Sindiket itu memperdaya ramai mangsa sehingga ada antara mereka berhabis wang simpanan. - Gambar hiasan
Labur RM2,800, dalam lima hari jaminan keuntungannya mencecah RM4,300.
Itu pulangan yang ditawarkan sindiket jual beli kereta yang didalangi sepasang suami isteri dari Pokok Sena, Kedah.
Hanya kerana keinginan untuk cepat kaya, ramai yang sudah menjadi mangsa termasuk golongan usahawan, peniaga, dan kakitangan kerajaan serta swasta.
Bermodalkan kehidupan yang mewah dengan menabur kata-kata manis, sindiket itu memperdaya ramai mangsa sehingga ada antara mereka berhabis wang simpanan untuk majlis perkahwinan.
Bagi seorang mangsa, Nabila Farhana Mohd Saidi, dia mula rasa tertipu apabila pulangan yang dijanjikan tidak diterimanya.
“Saya terpedaya (dengan untung) selepas itu memindahkan wang melalui bank ke akaunnya berjumlah RM1,000. (Katanya) dalam masa lima hari saya akan dapat balik. Lepas itu, setelah tunggu selama lima hari, dia beri alasan untuk beri pulangan (yang dijanjikan) pada hari keesokannya kerana (waktu itu) dia tidak sempat.
“Setelah tunggu sekian lama, dia hilang. Dia block WhatsApp dan Facebook. Semua hilang dan saya tidak dapat lagi hubungi dia,” kata pekerja swasta itu.
Sementara itu bagi usahawan kosmetik, Nur Fadhila Mahd Kamal, dia dan teman-temannya yang turut tertipu sudah membuat laporan polis mengenai kes tersebut.
“Apabila saya sampai Kedah, saya dapat tahu dia sudah lari. Tidak tahu pula ke mana. Kawan-kawan saya pun terkena dan bila saya viralkan (kes penipuan itu), dapat tahu pula keseluruhan jumlah yang terlibat (dalam sindiket) hampir RM50,000. Libatkan mangsa seramai lebih 20 orang. Setakat ini sudah tiga laporan polis dibuat,” ujatrnya kesal.
Bukan itu sahaja, si isteri yang mendalangi sindiket itu turut menawarkan diri membantu mangsanya membuat pinjaman bank sehingga RM50,000.
Seorang lagi mangsa yang enggan dikenali berkata, dia bimbang sekiranya pasangan suami isteri itu mengguna pakai dokumennya untuk membuat pinjaman lain atau sebarang tujuan tertentu.
“Sekarang ini yang penting saya nak dia pulangkan balik salinan kad pengenalan, salinan lesen niaga dan salinan penyata bank saya. Dia bohong apabila kata nak buat pinjaman bank sebanyak RM50,000.
“Saya sudah berikan semua itu (dokumen) kepadanya, namun apabila ditanya tentang (perkembangan) proses (pinjaman), dia melengahkannya dari sehari ke sehari,” ujarnya.
#laporan polis #mangsa #sindiket penipuan #skim cepat kaya #suami isteri tipu
;