Suami isteri cedera, motosikal berkuasa tinggi rempuh belakang SUV sebelum terbakar
Abd Razak Mohd Ali
Januari 28, 2022 17:10 MYT
Januari 28, 2022 17:10 MYT
KUALA KANGSAR: Sepasang suami isteri cedera selepas motosikal berkuasa tinggi yang mereka naiki merempuh belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), sebelum terbakar, di Kilometer 234 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini, hari ini.
Mangsa, Mohamed Akbar Mohamed Zakaria, 50, dan Bakiah Mohamad, 38, diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk tindakan selanjutnya
Difahamkan, pasangan suami isteri itu menyertai konvoi bermotosikal ketika kemalangan berlaku.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 1.44 petang.
“Setibanya jentera di lokasi, didapati kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan dimana sebuah motosikal berkuasa tinggi telah melanggar bahagian belakang Perodua Aruz.
“Akibat pelanggaran itu, berlaku kebakaran manakala penunggang dan pembonceng motosikal tercampak dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu, anggota bomba membuat pemadaman bersumberkan air dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadamkan.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Shuhairul Fahmi Ishak tamat jam 2.37 petang.
#motosikal rempuh SUV
#motosikal berkuasa tinggi
#Kuala Kangsar
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia