Suami isteri cari ibu bapa kandung anak angkat

Sinar Harian
Oktober 3, 2018 17:18 MYT
dia dan suami telah berusaha menghubungi pasangan tersebut namun tidak berjaya - Sinar Harian
Sepasang suami isteri di Bandar Mas di sini memohon ibu bapa kandung anak angkatnya tampil bagi melancarkan urusan dokumentasi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mas Ayu Puasa, 43, berkata, ibu bapa anak angkatnya, Muhammad Firas Al-Khawarizmi, 2, menyerahkan bayi itu kerana mereka tidak mampu untuk menjaganya akibat kekangan hidup.
Menurutnya, bapanya dikenali sebagai Lokijin merupakan warganegara Malaysia berasal dari Sabah manakala ibunya Giyakti merupakan warga Indonesia.
“Ibu bapanya dengan rela hati menyerahkan kepada kami sejak Firas dilahirkan. Bahkan kami juga sudah melakukan urusan ber­kenaan pengambilan anak angkat termasuklah hadir ke mahkamah untuk angkat sumpah di hadapan hakim dan sebagainya.
“Ibu bapanya ikhlas mahu kami menjaga dan membesarkan agar anaknya mendapat kehidupan dan masa depan yang lebih baik. Namun kini kami berdepan masalah apabila terputus hubungan dengan mereka untuk membantu urusan dengan pihak JKM,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, dia dan suami telah berusaha menghubungi pasangan tersebut namun tidak berjaya.
Katanya, seperti mana dua anaknya lagi, dia juga mahu Firas mempunyai masa depan dan mendapat kehidupan seperti kanak-kanak lain termasuklah bersekolah.
“Anak pertama kami adalah anak angkat juga namun dah besar sekolah menengah. Anak ke dua pula anak sendiri dan sudah di darjah lima.
“Kehadiran Firas dalam keluarga kami amatlah kami nantikan lebih-lebih lagi kakaknya teringinkan seorang adik. Bahkan keluar­ga juga sudah menganggap Firas seperti darah daging kami,” katanya.
Oleh demikian dia berharap agar ibu bapa kandung Firas dapat meng­hubunginya di talian 017-7730215 untuk mem­bantu urusan dokumentasi dengan pihak JKM.
#bayi #Giyakti #Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm #Kanak-kanak #keluarga angkat #Lokijin #Mas Ayu Puasa #Muhammad Firas Al-Khawarizmi #warga Indonesia
;