Suami isteri berdepan lapan pertuduhan perdagangkan remaja untuk tujuan eksploitasi

Muhafandi Muhamad
Mei 15, 2017 13:26 MYT
Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama memperdagangkan lapan remaja berusia 13 hingga 16 tahun untuk tujuan eksploitasi. - Gambar hiasan
Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini terhadap lapan pertuduhan memperdagangkan lapan remaja berusia 13 hingga 16 tahun untuk tujuan eksploitasi, Mac lalu.
Tertuduh, Muslim Ab Karim, 56, dan isterinya Zaleha Mohamad, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa bersama-sama memperdagangkan lapan remaja berusia 13 hingga 16 tahun untuk tujuan eksploitasi di hadapan sebuah bank di Jalan Mahmood dan Taman SBJ, Panchor antara jam 11.35 malam, 13 Mac 2017 hingga 12.25 tengah malam, 14 Mac 2017.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas.
Mahkamah menetapkan 11 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Kuantan dan Raub terhadap kesalahan sama.
#Kota Bharu #Mahkamah Sesyen #perdagangan manusia
;